Sunday, December 29, 2013

6.1 KELAHIRAN NABI IBRAHIM A.S.

KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s
 

Selepas berlalu 1,600 tahun wafatnya Nabi Salih a.s., wujud sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang raja yang sangat zalim di negeri Irak.  Allah swt telah menghancurkan kerajaan raja zalim itu.  Setelah itu berdiri sebuah kerajaan baru yang berajakan Namrud bin Karus bin Kan’an bin Adam bin Naqur bin Sam bin Nuh.

Namrud pandai dalam beberapa bahasa asing.  Dia sangat mempercayai nujum.  Dia juga dikenali sebagai sang Arjuna.  Namrud sangat gagah dan mempunyai angkatan perang yang sangat kuat.  Banyak negeri di sekitar Irak telah masuk bawah jajahan takluknya.  Setiap tahun, negeri-negeri tersebut menghantar upti bunga emas kepadanya.  Pusat pemerintahannya ialah Kota Babil, ibu negeri Babilon.

Para ahli nujum Raja Namrud telah mempersembahkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki yang akan menentang kepercayaan dan meruntuhkan kerajaannya.  Raja Namrud terus mengeluarkan perintah agar semua rakyatnya jangan berkahwin.  Bagi yang sudah berkahwin, hendaklah mereka bercerai.  Semua tentera dikerah menjaga setiap rumah di negeri Babilon agar tidak terjadi perhubungan suami isteri.

Raja Namrud mempunyai seorang pengawal yang sangat disayangi.  Cinta dan kasih kepada pengawal tersebut adalah kerana budi bahasanya yang mulia disertai dengan rupa paras yang kacak menawan.  Pengawal itu juga seorang yang sangat pandai mengukir patung, yang kemudiannya akan dijual kepada orang ramai.

Raja Namrud jarang berpisah dengan pengawal itu.  Nama pengawal kesayang itu ialah Azar bin Tahur dari keturunan Sam bin Nuh a.s. (Azar bin Tahur bin Saruj bin Rau’ bin Falij bin Abir bin Salih bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh a.s.).  Kerja Azar ialah memegang pedang sepanjang masa.  Pada waktu malam, Azar memegang pedang di tangan kanan, lilin dan makanan di tangan kiri.  Dia duduk di kepala Raja Namrud ketika raja itu tidur.

Pada hari terluang, Azar memahat patung berhala.  Setelah keluar perintah larangan tidak boleh beristeri dan yang sudah berkahwin kena bercerai, Azar terus tidak pulang.  Dia menahan rasa rindu kepada isterinya kerana dia sangat takut kepada hukuman Raja Namrud.  Isterinya gelisah seribu kerinduan.  Allah swt menambah rasa berahi ke dalam diri isteri Azar.  Pada suatu malam, isteri Azar pergi ke istana Raja Namrud untuk berjumpa suaminya.  Ketika isteri Azar sampai, istana sunyi sepi.  Semua isi istana sudah tidur.  Allah swt mengatur supaya isteri Azar dapat bersama suaminya.

Pada keesokan harinya, Raja Namrud melihat airmuka Azar bin Tahur hilang cahaya serinya yang gilang gemilang.  Ini adalah kerana nur Nabi Ibrahim a.s. yang dikandung dalam sulbinya sudah turun ke dalam rahim isterinya.  Hati Raja Namrud mula gelisah dan curiga.  Baginda bertanya kepada ahli nujum istana tentang bayi yang akan mengancam kerajaannya.  Para nujum memaklumkan bahawa bayi tersebut sudah berada dalam kandungan ibunya.  Maka Raja Namrud memerintah polisnya pergi ke setiap rumah memeriksa setiap ibu, dan sekiranya ada di antara mereka yang mengandung, anak dalam kandungan itu hendaklah dibunuh.

Dengan hikmat dan pertolongan Allah swt, rumah Azar tidak didatangi polis Raja Namrud.  Pada suatu hari, sewaktu Azar pulang ke rumah untuk suatu hajat, isterinya memaklumkan bahawa sudah sampai masa untuk melahirkan.  Azar mencadangkan agar isterinya bersalin jauh dari kesibukan orang ramai.  Isteri azar telah pergi ke pinggir bukit dan menemui sebuah gua.  Dia melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat cantik.  Bayi tersebut ditinggalkan di dalam gua setelah diberi nama Ibrahim.  Isteri Azar pulang ke rumah kerana bimbang orang ramai akan curiga.  Malaikat Jibrail a.s. menjaga keselamatan Nabi Ibrahim a.s.  Malaikat Jibrail a.s. memasukkan jari bayi itu ke dalam mulutnya.  Dari jari itu keluar dua jenis minuman iaitu susu dan madu beselang seli.

Sewaktu isteri azar melawat anaknya, dia mendapati anaknya masih hidup dan bermain dengan riangnya.  Nabi Ibrahim a.s. dibersihkan dan diselimuti semula.  Seminggu kemudian dia datang lagi.  Dia terus berulang alik setiap minggu sampailah Nabi Ibrahim a.s. mencapai usia 5 tahun.

credit: wiwit25.blogspot.com

No comments:

Post a Comment