Wednesday, January 1, 2014

6.5 SITI SARAH DENGAN RAJA MESIR

KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s

Semasa dalam perjalanan ke negeri Syam, Nabi Ibrahim a.s. mendapati negeri itu sedang dilanda musim kemarau yang hebat.  Sebelum sampai ke Syam, Nabi Ibrahim a.s. melalui negeri Khamsas yang terletak di perbatasan negeri Syam di sebelah barat dan bersempadan dengan negeri Mesir di sebelah timur.
credit: www.aisya-avicenna.com

Mesir ketika itu diperintah oleh seorang raja yang sangat zalim dan suka merampas harta benda milik rakyat.  Raja Mesir itu juga suka merampas isteri orang yang cantik jelita dan yang berkenan di hatinya.  Si suami akan dibunuhnya.  Untuk melindung isteri baginda daripada raja Mesir itu, Nabi Ibrahim a.s. memasukkan Siti Sarah ke dalam sebuah peti kayu yang diangkat ke atas belakang seekor unta.  Baginda menuntun unta itu berjalan masuk ke dalam negeri Khamsas.  Baginda telah menjadi perhatian orang ramai.  Pegawai sempadan kerajaan Mesir telah menahan dan membawa Nabi Ibrahim a.s. menghadap raja Mesir.

Raja Mesir bertanya apakah yang terdapat di dalam peti besar itu.  Nabi Ibrahim a.s. menjawab bahawa terdapat seorang perempuan di dalam peti itu.  Setelah raja Mesir mendengar penjelsan Nabi Ibrahim a.s., dengan penuh bernafsu raja Mesir memerintah para pengawalnya segera membuka peti itu.  Setelah melihat Siti Sarah, raja Mesir amat berkenan kepadanya.  Raja Mesir bertanya sama ada Siti Sarah adalah isteri Nabi Ibrahim a.s.  Nabi Ibrahim a.s. berbohong atas dasar bermuamalat menyatakan Siti Sarah adalah saudaranya.

Raja Mesir merampas Siti Sarah dan dibawa masuk ke bilik dalam istana.  Nabi Ibrahim a.s. diberi pilihan untuk masuk penjara atau pulang ke negeri asal.  Nabi Inrahim a.s. memilih untuk masuk penjara asalkan baginda tidak berjauhan dengan isteri baginda.  Sewaktu Nabi Ibrahim a.s. berada dalam penjara, malaikat Jibrail a.s. datang memberitahu bahawa isteri baginda tidak akan dapat diapa-apakan oleh raja Mesir.  Malaikat Jibrail a.s. telah membuka hijab mata Nabi Ibrahim a.s. agar dapat melihat kelakuan raja terhadap isteri baginda.

Raja Mesir mahu melepaskan hawa nafsunya ke atas diri Siti Sarah yang amat jelita.  Dia terus bergegas ke bilik di mana Siti Sarah ditempatkan dan memerintahkan semua dayang keluar.  Raja Mesir memujuk Siti Sarah dan terus melangkah mendekatinya.  Setelah benar-benar hampir, tiba-tiba kaki raja Mesir melekat di lantai istana.  Setelah dirasakan kakinya tidak dapat melangkah, dihulurkan tangannya untuk menyentuh Siti Sarah.  Tiba-tiba tangannya hilang hingga ke paras bahu.

Raja Mesir menjadi cemas.  Dia tidak dapat bergerak dan tangannya sudah kudung.  Dia sedih dan menyesal atas perbuatannya.  Dia mohon kepada Siti Sarah supaya berdoa ke hadhirat Allah swt supaya mengembalikan semula tangannya yang hilang dan melepaskan kakinya.  Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan kutuk itu lagi dan akan megembalikan Siti sarah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Stiti Sarah berdoa, Allah swt telah memakbulkan doa Siti Sarah itu.  Tiba-tiba raja Mesir kembali bernafsu.  Dia terus berlari menerkam Siti Sarah.  Sebelum dia dapat berbuat apa-apa, Allah swt melekatkan kakinya dan mengudungkan semula tangannya.  Peristiwa ini berulang terjadi sebanyak 3 kali.  Setelah kali ketiga, barulah raja Mesir itu benar-benar insaf dan benar-benar mengembalikan Siti Sarah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Raja mesir memohon maaf kepada Nabi Ibrahim a.s.  Dia telah menghadiahkan berbagai hadiah termasuk seorang gadis berusia 12 tahun, bernama Hajar, untuk menjadi khadam kepada Siti Sarah.


No comments:

Post a Comment