KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s
Mengikut ulama’
tafsir, wajah Nabi Ibrahim a.s. amat kacak dan tampan. Setelah Nabi Ibrahim a.s. berusia 7 tahun,
dia dibawa pulang ke rumah. Azar menggunakan
Nabi Ibrahim a.s. berniaga berhala pahatan dan ukirannya. Nabi Ibrahim a.s. patuh perintah ayahnya
meskipun baginda sungguh benci pada patung berhala itu. Ketika bertemu orang ramai, Nabi Ibrahim a.s.
akan memburuk-burukkan berhala yang dibawa.
Kata-kata Nabi Ibrahim a.s. membuatkan hati orang ramai tawar untuk
membeli berhala itu menyebabkan patung berhala itu tidak laku.
Setelah Nabi Ibrahim
a.s. meningkat dewasa, Allah swt telah melantik baginda menjadi RasulNya. Tugas pertama Nabi Ibrahim a.s. ialah untuk
mengajak ayah baginda supaya beriman kepada Allah swt. Azar berasa sangat marah, lantas menghalau Nabi
Ibrahim a.s.
Tidak berapa
lama lepas itu, masyarakat Babilon telah keluar beramai-ramai dari Kota Babilon
untuk merayakan hari besar. Nabi Ibrahim
a.s. tidak ikut serta dalam perayaan itu.
Baginda memberikan alasan yang baginda demam.
Setelah keadaan
Kota Babil lengang dan sunyi, Nabi Ibrahim a.s. keluar menuju ke rumah berhala
kaumnya. Baginda membawa sebilah
kapak. Dipukulnya semua berhala yang
ada. Kemudian kapak itu disangkut pada
telinga berhala yang paling besar.
Setelah selesai
berpesta, kaum Nabi Ibrahim a.s. pulang ke rumah. Ada yang terus ke rumah berhala. Orang ramai menjadi terkejut melihat semua
berhala sudah hancur. Hanya tinggal satu
sahaja. Mereka mengesyaki ada orang yang
melakukannya. Tiba-tiba ada orang
teringat Nabi Ibrahim a.s. tidak bersama ke luar kota kerana demam. Mereka pun menuduh Nabi Ibrahim a.s. yang
melakukannya. Selain mengesyaki Nabi Ibrahim
a.s., penjaga kuil mengatakan ada melihat Nabi Ibrahim a.s. keluar tergesa-gesa
dari rumah berhala itu. Mereka pun terus
membawa Nabi Ibrahim a.s. ke hadapan Raja Namrud untuk dibicarakan.
Perbicaraan
diadakan secara terbuka. Nabi Ibrahim
a.s. didakwa telah menghancurkan dan melenyapkan tuhan-tuhan mereka. Nabi Ibrahim a.s. menyangkal perbuatan
itu. Sebagai bukti, baginda meminta
mereka bertanya kepada berhala terbesar yang memakai subang kapak di
telinganya. Baginda menyatakan bahawa berhala
itulah yang melakukannya kepada yang kecil-kecil.
Penduduk Kota Babil
menundukkan kepala kerana bingung dan malu.
Mereka sedar bahawa patung berhala tidak dapat diajak untuk berbicara,
apa lagi untuk bertindak memukul sesuatu.
Para hakim memutuskan agar Nabi Ibrahim
a.s. dibakar hidup-hidup.
Pentas pembakaran
dan kayu api disediakan dengan segera. Orang
ramai bersesak untuk melihat Nabi Ibrahim a.s. dimasukkan ke dalam api. Api menjulang tinggi sebaik pembakaran
dimulakan. Orang ramai berundur kerana
tidak tahan bahang yang menyambar kulti.
Raja Namrud memerintahkan pekerja supaya membawa Nabi Ibrahim a.s. masuk
ke dalam api. Tetapi tidak dapat
dilakukan kerana api terlalu panas. Pada
ketika ini, Iblis laknatullah menjelma sebagai seorang tua lantas mengajar Raja
Namrud membuat sejenis alat menjanik. Nabi
Ibrahim a.s. pun diletakkan di atasnya. Seramai
400 orang memegang tali menjanik sementara 10 orang memegang tali yang akan
dipotong untuk melontar Nabi Ibrahim a.s. ke dalam api.
400 orang itu
menarik tali untuk menyentap, tetapi jerat itu tidak terangkat. Raja Namrud segera mengerahkan agar tenaga
ditambah sehingga menjadi beribu-ribu orang, namun masih tidak terangkat sehinggalah
Azar bin Tahur juga turut menarik. Setelah
Nabi Ibrahim a.s. melihat bapa baginda turut menarik, baginda berdoa ke hadhirat
Allah swt supaya jerat pelontar menjanik berjaya diangkat. Nabi Ibrahim a.s. pun berjaya dilontar ke
dalam api.
Pada mulanya
Allah swt menyuruh api menjadi sejuk. Api
pun menjadi sejuk seperti udara di musim dingin sehingga Nabi Ibrahim a.s.
menggigil. Setelah itu, Allah swt
memerintahkan api supaya menjadi sejahtera.
Ketika itu barulah Nabi Ibrahim a.s. berasa selesa di dalam api.
No comments:
Post a Comment