Monday, December 30, 2013

6.2 NABI IBRAHIM A.S. DIBAKAR

KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s
 
Mengikut ulama’ tafsir, wajah Nabi Ibrahim a.s. amat kacak dan tampan.  Setelah Nabi Ibrahim a.s. berusia 7 tahun, dia dibawa pulang ke rumah.  Azar menggunakan Nabi Ibrahim a.s. berniaga berhala pahatan dan ukirannya.  Nabi Ibrahim a.s. patuh perintah ayahnya meskipun baginda sungguh benci pada patung berhala itu.  Ketika bertemu orang ramai, Nabi Ibrahim a.s. akan memburuk-burukkan berhala yang dibawa.  Kata-kata Nabi Ibrahim a.s. membuatkan hati orang ramai tawar untuk membeli berhala itu menyebabkan patung berhala itu tidak laku.

Setelah Nabi Ibrahim a.s. meningkat dewasa, Allah swt telah melantik baginda menjadi RasulNya.  Tugas pertama Nabi Ibrahim a.s. ialah untuk mengajak ayah baginda supaya beriman kepada Allah swt.  Azar berasa sangat marah, lantas menghalau Nabi Ibrahim a.s.

Tidak berapa lama lepas itu, masyarakat Babilon telah keluar beramai-ramai dari Kota Babilon untuk merayakan hari besar.  Nabi Ibrahim a.s. tidak ikut serta dalam perayaan itu.  Baginda memberikan alasan yang baginda demam.

Setelah keadaan Kota Babil lengang dan sunyi, Nabi Ibrahim a.s. keluar menuju ke rumah berhala kaumnya.  Baginda membawa sebilah kapak.  Dipukulnya semua berhala yang ada.  Kemudian kapak itu disangkut pada telinga berhala yang paling besar.

Setelah selesai berpesta, kaum Nabi Ibrahim a.s. pulang ke rumah.  Ada yang terus ke rumah berhala.  Orang ramai menjadi terkejut melihat semua berhala sudah hancur.  Hanya tinggal satu sahaja.  Mereka mengesyaki ada orang yang melakukannya.  Tiba-tiba ada orang teringat Nabi Ibrahim a.s. tidak bersama ke luar kota kerana demam.  Mereka pun menuduh Nabi Ibrahim a.s. yang melakukannya.  Selain mengesyaki Nabi Ibrahim a.s., penjaga kuil mengatakan ada melihat Nabi Ibrahim a.s. keluar tergesa-gesa dari rumah berhala itu.  Mereka pun terus membawa Nabi Ibrahim a.s. ke hadapan Raja Namrud untuk dibicarakan.

Perbicaraan diadakan secara terbuka.  Nabi Ibrahim a.s. didakwa telah menghancurkan dan melenyapkan tuhan-tuhan mereka.  Nabi Ibrahim a.s. menyangkal perbuatan itu.  Sebagai bukti, baginda meminta mereka bertanya kepada berhala terbesar yang memakai subang kapak di telinganya.  Baginda menyatakan bahawa berhala itulah yang melakukannya kepada yang kecil-kecil.

Penduduk Kota Babil menundukkan kepala kerana bingung dan malu.  Mereka sedar bahawa patung berhala tidak dapat diajak untuk berbicara, apa lagi untuk bertindak memukul sesuatu.  Para hakim  memutuskan agar Nabi Ibrahim a.s. dibakar hidup-hidup.

Pentas pembakaran dan kayu api disediakan dengan segera.  Orang ramai bersesak untuk melihat Nabi Ibrahim a.s. dimasukkan ke dalam api.  Api menjulang tinggi sebaik pembakaran dimulakan.  Orang ramai berundur kerana tidak tahan bahang yang menyambar kulti.  Raja Namrud memerintahkan pekerja supaya membawa Nabi Ibrahim a.s. masuk ke dalam api.  Tetapi tidak dapat dilakukan kerana api terlalu panas.  Pada ketika ini, Iblis laknatullah menjelma sebagai seorang tua lantas mengajar Raja Namrud membuat sejenis alat menjanik.  Nabi Ibrahim a.s. pun diletakkan di atasnya.  Seramai 400 orang memegang tali menjanik sementara 10 orang memegang tali yang akan dipotong untuk melontar Nabi Ibrahim a.s. ke dalam api.

400 orang itu menarik tali untuk menyentap, tetapi jerat itu tidak terangkat.  Raja Namrud segera mengerahkan agar tenaga ditambah sehingga menjadi beribu-ribu orang, namun masih tidak terangkat sehinggalah Azar bin Tahur juga turut menarik.  Setelah Nabi Ibrahim a.s. melihat bapa baginda turut menarik, baginda berdoa ke hadhirat Allah swt supaya jerat pelontar menjanik berjaya diangkat.  Nabi Ibrahim a.s. pun berjaya dilontar ke dalam api.

Pada mulanya Allah swt menyuruh api menjadi sejuk.  Api pun menjadi sejuk seperti udara di musim dingin sehingga Nabi Ibrahim a.s. menggigil.  Setelah itu, Allah swt memerintahkan api supaya menjadi sejahtera.  Ketika itu barulah Nabi Ibrahim a.s. berasa selesa di dalam api.


No comments:

Post a Comment