Monday, December 2, 2013

5. KISAH NABI SALIH a.s.

KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

 KISAH 5
NABI SALIH a.s
 
Di dataran al-Hijr, yang letaknya di kawasan bukit bukau berbatu di antara Hijaz dengan Syam, tinggal satu suku Arab yang dinamakan kaum Thamud.  Jumlah mereka dianggarkan seramai 4,000 sehingga 25,000 orang.  Mereka dinamakan kaum Thamud kerana mereka berasal daripada keturunan seorang lelaki yang bernama Thamud bin Abir bin Iram bin Sam bin Nuh a.s.  Thamud adalah bersaudara sepupu dengan Ad.  Tanah al-Hijr sangat subur dan amat sesuai untuk bercucuk tanam.  Kehidupan kaum Thamud mewah dengan mereka membina perkampungan di bumi al-Hijr.  Mereka mempunyai keahlian di dalam bercucuk tanam, memahat bukit-bukit batu sehingga menjadi rumah mereka yang megah.

Setelah 100 tahun kewafatan Nabi Hud a.s., kaum Thamud mula lupa daratan.  Kaum Thamud di atas pujukan Iblis la’natullah telah mencipta sebuah patung berhala daripada perak.  Berhala itu diletakkan di atas sebuah bukit yang bernama bukit Kahirul Sakhar.  Setiap hari mereka pergi ke bukit Kahirul Sakhar untuk menyembah dan memuja berhala perak itu.
 
Allah swt telah mengutuskan seorang Nabi dan Rasul dari kalangan mereka bernama Salih bin Abd bin Masah bin Ubaid bin Hajiz bin Thamud bin Amir bin Iram bin Sam bin Nuh a.s.  Nabi Salih a.s. dilahirkan dalam keluarga yang mulia dan bangsawan.  Baginda adalah insan yang paling kacak sekali pada zaman baginda.  Nabi Salih a.s. juga dikurniakan Allah swt kepintaran, kecerdikan dan ketangkasan dalam serba serbi perbuatan dan pekerjaan; seorang yang sangat merendah diri, sangat ramah tamah dan mudah mesra.  Nabi Salih a.s. diutus kepada kaum Thamud untuk menyeru mereka agar beriman kepada Allah swt.

Kaum Thamud tetap tidak mahu percaya.  Mereka telah mengusir Nabi Salih a.s.  Baginda telah melarikan diri ke dalam sebuah gua.  Tatkala baginda hendak melangkah masuk, Nabi salih a.s. sangat terperanjat serta takjub mendapati sebuah katil yang bercahaya cemerlang menerangi gua itu.  Setelah Nabi Salih a.s. mendekati katil yang indah itu, tiba-tiba mata baginda merasa sangat mengantuk.  Nabi Salih a.s. terus merebahkan diri dan terus tidur lena.  Diriwayatkan nabi salih a.s. tidur selama 40 tahun.

Setelah berlalu masa 40 tahun, Nabi Salih a.s. diperintahkan Allah swt agar pergi berdakwah kepada kaum Thamud.  Kaum Thamud telah meminta kepada Nabi Salih a.s. menunjukkan bukti atau mukjizat kepada mereka.  Mereka telah meminta Nabi salih a.s. mengeluarkan seekor unta daripada batu yang tidak mempunyai gua.

Nabi salih a.s. berdoa ke hadhirat Allah swt.  Maka muncul Malaikat Jibrail a.s. memerintah Nabi Salih a.s. supaya mengumpul seluruh kaum Thamud di suatu padang yang terdapat sebuah bukit tidak burgua.  Setelah seluruh kaum Thamud berkumpul, Nabi Salih a.s. terus mengerjakan solat 2 rakaat memohon agar Allah swt mengkabulkan permintaan kaum baginda.  Setelah Nabi Salih a.s. selesai mengerjakan solat, dan berdoa, maka tiba-tiba kedengaran bukit itu menjerit seperti ibu yang sakit mahu melahirkan.  Tiba-tiba bukit itu terbelah dan keluar dari dalamnya seekor unta betina yang besar.  Tiba-tiba unta betina itu bunting dan sebentar itu juga unta betina mukjizat itu melahirkan seekor anak.  Tanah dekat unta itu tiba-tiba tenggelam membentuk sebuah perigi yang berisi air.  Lantas unta 2 beranak itu terus meminum air telaga itu dan kemudian terus beredar ke padang memakan rumput.
 
Setelah melihat beberapa keajaiban, sebahagian kaum Thamud yang diketuai oleh Jundu’ bin Amru bin Muhlaah bin Labid Jawwas telah beriman.  Nabi Salih a.s. mengingatkan agar tidak mengganggu unta betina itu.  Jika mereka engkar, bala Allah swt akan menimpa mereka.  Antara peraturannya ialah bila unta betina mukjizat itu meminum air telaga tersebut maka binatang-binatang ternak kaum Thamud perlu digiring ke tempat lain yang ada telaga.

Para penternak mula bermesyuarat sesama mereka.  Keputusan yang diambil ialah binatang ternakan mereka perlu dapat minum di telaga millik Nabi Salih a.s. itu.  Dan mereka perlu menyekat pengaruh Nabi Salih a.s. yang semakin merebak, dengan menghapuskan unta betina itu.

Terdapat 2 orang perempuan yang turut memberi semangat untuk meghapuskan unta itu.  Seorang daripada mereka ialah perempuan janda yang sangat cantik mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kaum Thamud.  Namanya Syaduq binti Mahya.  Dia pergi bertemu dengan seorang pemuda bernama Musyadda’ bin Muharrij dan bersedia untuk menyerahkan kehormatannya kepada pemuda tersebut sekiranya sanggup menyembelih unta itu.  Manakala seorang lagi ialah seorang perempuan tua yang bersedia menyerahkan kehormatan anak gadisnya kepada sesiapa yang sanggup membunuh unta itu.  Dia telah bertemu dengan seorang pemuda bernama Qudar bin Salif yang bersedia melakukan perbuatan terkutuk itu.  Kedua-dua pemuda itu telah dibantu oleh 7 orang pemuda lain untuk menjalankan kerja-kerja membunuh unta itu.

Musyadda’ bin Muharrij dan Qudar bin salif bersama 7 orang pemuda Thamud keluar ke tempat unta itu pada malam hari.  Musyadda’ terus memanah kaki unta betina itu.  Qudar bin Salif lantas menyembelih unta itu sehingga mati.  Setelah anak unta melihat ibunya telah mati dibunuh, anak unta itu terus lari menyelamatkan diri.  Ketika sedang berlari, anak unta itu bersuara sebanyak 3 kali.  Kemudian ia ghaib.  Kesembilan orang musuh Allah swt itu tercengang hairan melihat peristiwa yang berlaku depan mata mereka.

Mereka pergi berjumpa dengan Nabi Salih a.s. memberitahu bahawa mereka telah membunuh unta mukjizat baginda, dan datangkanlah bencana yang diancamkan.  Nabi Salih a.s. menjawab menyatakan bahawa mereka benar-benar telah berbuat dosa.  Mereka hanya boleh bersuka ria selama 3 hari sahja di atas kematian unta itu.  Kaum Thamud terus mengejek-ngejek Nabi Salih a.s.  Nabi Salih a.s. menjelaskan bahawa azab Allah swt akan datang sebaik kaum kafir itu terjaga dari tidur pada sebelah pagi.

Pada hari pertama, wajah mereka berubah menjadi warna kuning.  Pada hari kedua menjadi warna merah.  Dan pada hari ketiga, berubah menjadi hitam macam arang.  Pada hari keempat, bala yang dahsyat akan menimpa.

Sebaik sahaja kumpulan 9 orang itu mendengar ancaman tersebut, mereka berpakat untuk membunuh Nabi Salih a.s. pada malam harinya.  Maka bergeraklah mereka ke rumah Nabi salih a.s. pada malamnya untuk membunuh baginda.  Tiba-tiba kepala mereka telah dihujani batu-batu besar.  Maka matilah 9 orang itu.

Sebelum hari keempat, Nabi salih a.s. membawa semua pengikut baginda yang beriman seramai 4,000 orang itu keluar daripada perkampungan al-Hijr.  Mereka berpindah ke negeri Palestine, di Kota Ramallah.  Setelah Nabi Salih a.s. dan pengikut baginda keluar daripada perkampungan al-Hijr itu, bala Allah swt menimpa kaum Thamud yang berupa suara petir yang memecahkan gegendang telinga.

Dengan musnahnya kaum Thamud, maka berakhirlah kisah perjuangan Nabi Salih a.s. dengan kaum Thamud.  Nabi salih a.s. wafat setelah mencapai usia 180 tahun.


bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment