Wednesday, January 1, 2014

6.4 SITI SARAH BERKENAN DENGAN NABI IBRAHIM A.S.

KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s
 
Nabi Ibrahim a.s. telah sampai berhampiran kawasan istana raja negeri Harran yang bernama Raja Khazan.  Raja khazan mempunyai seorang puteri yang amat cantik jelita bernama Sarah.  Ramai raja masuk meminang untuk putera mereka, tetapi ditolak oleh Puteri Sarah.  Akhirnya Puteri Sarah meminta  ayahandanya untuk memilih sendiri bakal suaminya.  Raja Khazan telah memerintah seluruh rakyat datang beramai-ramai ke perkarangan istana kerana Puteri Sarah mahu memilih jodohnya.

Setelah 7 hari 7 malam, Puteri Sarah masih juga belum berkenan melihat pemuda yang datang.  Nabi Ibrahim a.s. turut hadir diperkarangan istana.  Baginda berdiri di bawah sepohon kayu yang agak jauh daripada kumpulan pemuda.  Selang tidak berapa lama, keluarlah Puteri Sarah dengan diiringi oleh 400 dayang yang cantik jelita.  Puteri Sarah diusung dalam usungan tanduan bertutup dengan kain kelambu dari benang sutera.  Pada tangan kirinya terdapat sebiji buah limau manis.  Puteri Sarah diusung melalui depan muka setiap pemuda.  Apabila sampai di tempat Nabi Ibrahim a.s., Puteri Sarah melihat tempat itu bercahaya-cahaya bergemerlapan.  Baginda terpikat apabila terpandang Nabi Ibrahim a.s. yang begitu kacak.  Terus hati Puteri Sarah jatuh cinta.  Puteri Sarah memerintahkan supaya didekatkan usungannya ke tempat Nabi Ibrahim a.s. dan terus menghulurkan limau ditangannya.

Setelah Puteri Sarah pulang ke istana, pengawal istana terus mengangkat Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas usungan dan dibawa ke istana.  Ayahanda Puteri Sarah sangat terpesona melihat wajah Nabi Ibrahim a.s. yang bercahaya, tampan, sangat menawan dan halus budi bahasa.

Majlis pernikahan diaturkan dengan majlis berjamu untuk rakyat diadakan selama 7 hari 7 malam.  Kecantikan Siti Sarah memang tiada bandingannya.  Setelah tinggal dan bersuka-suka dengan isterinya, Nabi Ibrahim a.s. memberitahu bahawa baginda perlu meneruskan perjalanan.  Siti Sarah mahu ikut serta.  Raja khazan mengizinkan.


No comments:

Post a Comment