Wednesday, April 23, 2014

KISAH 8: NABI ISMAIL A.S



 KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN


8.1 Siti Sarah Cemburu
Ketika Nabi Ibrahim a.s. berkahwin dengan Siti Hajar, usia baginda telah menjangkau 85 tahun.  Setelah Siti Sarah tahu Siti Hajar mengandung, timbullah perasaan cemburu di hati Siti Sarah.  Tindakan pertama yang dilakukan oleh Siti Sarah untuk mengendurkan sedikit rasa cinta dan berahi Nabi Ibrahim a.s. kepada Siti Hajar adalah dengan melubangi kedua-dua cuping telinga Siti Hajar dan menggantungkan anting-anting.  Tetapi sebaliknya Siti Hajar menjadi semakin cantik dan Nabi Ibrahim a.s. bertambah ghairah.  Tindakan kedua yang dilakukan oleh Siti Sarah ialah mengkhatankan Siti Hajar.  Namum usaha tersebut tidak berjaya mengurangkan rasa cinta dan berahi Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ismail a.s. dilahirkan ketika Nabi Ibrahim a.s. berusia 86 tahun.  Setelah Siti Hajar melahirkan putera lelakinya, Siti Sarah meluahkan kepahitan hatinya kepada Nabi Ibrahim a.s.  Siti Sarah memberitahu Nabi Ibrahim a.s. agar baginda mengeluarkan Siti Hajar dari rumahnya.  Nabi Ibrahim a.s. sangat terkejut mendengar permintaan isterinya itu.

Malaikat Jibrail a.s. menyuruh baginda mengikut kehendak isterinya itu.  Nabi Ibrahim a.s. berangkat bersama Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. dengan menunggang unta menuju ke satu arah yang dibawa oleh untanya.  Akhirnya sampailah Nabi Ibrahim a.s. di suatu tanah lapang yang kering kontang.  Di situlah Nabi Ibrahim a.s. menurunkan isteri dan anaknya.

Nabi Ibrahim a.s. kemudiannya pulang semula ke Palestin.  Siti Hajar berserah kepada Allah swt tentang nasib diri dan anaknya.  Tak lama kemudian, Siti Hajar mendapati air bekalannya kehabisan.  Air susunya pula sudah kekeringan.  Ini menyebabkan Nabi Ismail a.s. menangis kerana dahaga.  Ketika Siti Hajar melepaskan pandangannya ke arah Bukit Safa, dia melihat seperti ada air di sana.  Dia terus berlari ke arah Bukit Safa.  Rupa-rupanya ia hanyalah fatamorgana.  Kemuidan Siti Hajar berpaling pula ke arah Bukit Marwah, dia melihat seperti itu pula di kaki Bukit Marwah.  Dia terus berlari ke arah Bukit Marwah.  Rupa-rupanya fatamorgana sahaja.  Siti Hajar berlari semula ke arah Bulkit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali.

Ketika Siti Hajar berlari ke arah Bukit Safa dan Marwah secara berulang-ulang itu, Nabi Ismail a.s. terus menerus menangis sambil menolak-nolak tumit kakinya di pasir.  Setelah Siti Hajar berlari untuk kali ke 7 di Bukit Marwah, beliau pergi duduk dekat anaknya.  Tiba-tiba dia melihat di kaki anaknya, Nabi Ismail a.s., terpancar sebuah mata air yang sangat jernih.  Siti Hajar terus membuat sekatan agar air itu tidak mengalir keluar.  Ketika dia berbuat demikian, mulutnya berkata ‘zamzam’ yang bererti bertakunglah, bertakunglah (wahai air).

Setelah beberapa lama, datanglah seorang lelaki mencari untanya yang hilang.  Dia hairan melihat ada air di tempat itu.  Setelah pengembala unta itu pulang ke tempatnya dan memberitahu kisah penemuannya dengan Siti Hajar dan telaga zamzam, maka ramai orang Arab suku Jurhum datang ke tempat itu untuk membina penghidupan.  Mereka meminta izin Siti Hajar untuk tinggal di kawasan itu dan menggunakan air telaga zamzam.  Para penternak itu bersetuju untuk memberi sebanyak 10% setahun dari hasil ternakan dan pertanian kepada Siti Hajar.

Riwayat lain menyatakan, setelah adanya air di Mekah, mulalah burung-burung berlegar di angkasa atas telaga zamzam.  Apabila musafir melihat ada burung berlegar di tempat Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. itu, tahulah mereka bahawa tempat itu ada air.  Mereka datang ke situ dan membina penempatan setelah mendapat keizinan daripada Siti Hajar.

Pada suatu hari Nabi Ibrahim a.s. telah memberitahu Siti Sarah berkenaan hasrat baginda untuk pergi melihat Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s.  Siti Sarah bersetuju dengan satu syarat iaitu Nabi Ibrahim a.s. tidak boleh turun dari atas belakang unta apabila sampai di tempat Siti Hajar.

Setelah baginda sampai di Mekah, Nabi Ibrahim a.s. sangat hairan apabila melihat tempat yang begitu gersang sudah menjadi sebuah perkampungan yang makmur.  Siti Hajar menyambut ketibaan suaminya.  Dia melihat seluruh tubuh suaminya dilitupi dengan debu padang pasir.  Dia meminta suaminya mendekati telaga zamzam.  Siti Hajar terus mengambil sebuah batu besar untuk dijadikan tempat berpijak di sisi unta Nabi Ibrahim a.s.  Nabi Ibrahim a.s. lalu meletakkan sebelah kakinya di atas batu itu, manakala sebelah lagi di atas belakang untanya.  Maka Siti Hajar pun membersihkan semua kotoran debu dan peluh.  Setelah selesai sebelah badan, dialihkan batu itu ke sebelah yang satu lagi.  Dibersihkan Nabi Ibrahim a.s. tanpa suaminya turun daripada atas belakang unta.  Setelah selesai mandi manda di atas belakang untanya, Nabi Ibrahim a.s. kembali semula ke Palestin.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment