Wednesday, April 23, 2014

KISAH 9: NABI ISHAQ A.S



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
 
Nabi Ibrahim a.s menamakan putera baginda dengan Siti Sarah ini Ishaq kerana mengambil sempena tertawa Siti Sarah ketika mendengar perkhabaran ketiga-tiga malaikat bahawa dia akan mengandung dan akan mendapat seorang anak.  Ishaq dalam bahasa Ibrani bererti ‘tertawa gembira dan bercampur rasa terkejut.

Nabi Ishaq a.s. diutuskan Allah swt kepada kaum Kab’an, iaitu kaum dari keturunan anak Nabi Nuh a.s. yang bernama Kab’an yang tinggal di Palestin.  Nabi Ishaq a.s. adalah adik kepada Nabi Ismail a.s. berlainan ibu.  Nabi Ishaq a.s. beribukan Siti Sarah, seorang puteri raja negeri Harran.  Manakala Nabi Ismail a.s beribukan Siti Hajar, wanita Qibti Mesir, hamba kepada Siti Sarah.

Setelah ayahanda mereka Nabi Ibrahim a.s. wafat, Nabi Ismail a.s terus pergi ke Palestin untuk menziarahi makam ayahnya.  Ketika mahu pulang semula ke Mekah, Nabi Ismail a.s. pergi berjumpa Nabi Ishaq a.s. atas tujuan ingin mendapatkan sedikit barang pusaka dan tanda kenangan di samping untuk mendapat berkat.  Tetapi Nabi Ishaq a..s enggan memberikannya.

Nabi Ishaq a.s. tidak mahu menyerahkan sebahagian barang pusaka arwah ayahandanya kepada Nabi Ismail a.s. kerana Nabi Ismail a.s. hanya anak gundik sedangkan baginda adalah anak gahara (anak raja) yang berhak di atas semua barang-barang pusaka peninggalan arwah ayahandanya itu.

Ketika Nabi Ismail a.s. mendapat tahu kata-kata saudaranya Nabi Ishaq a.s. itu, maka dia berasa sangat sedih dan berkecil hati.  Lantas dia terus pulang ke Mekah dengan kecewanya.  Tak lama kemudian turunlah Malaikat JIbrail a.s. kepada Nabi Ishaq a.s. dan menegur perbuatan baginda itu.  Malaikat Jibrail a.s. menjelaskan tentang kelebihan dari keturunan Nabi Ismail a.s. akan lahir seorang nabi terbesar dan teragung bernama Muhammad, nabi yang paling mulia di atas seluruh manusia.  Muhammad itulah yang akan memohon syafaat untuk umatnya pada Hari Qiamat kelak.

Malaikat Jibrail a.s seterusnya bertanya mengapa Nabi Ishaq a.s. menghina abangnya Nabi ismail a.s.  Malaikat Jibrail menjelaskan bahawa anak cucu Nabi Ishaq a.s akan ditawan orang dan akan menjadi hamba dan orang suruhan.  Setelah Nabi Ishaq a.s. mendengar kata-kata teguran dan penjelasan daripada Malaikat Jibaril a.s., maka menyesallah Nabi Ishaq a.s. di atas keterlanjuran lidahnya.  Kerana menyesal di atas keikhlafannya itu, Nabi Ishaq a.s. telah betaubat kepada Allah swt.  Sejak hari itu baginda tidak berhenti menangis sehingga matanya menjadi buta.

Nabi Ishaq a.s dinikahkan ayahandanya, Nabi Ibrahim a.s., dengan seorang gadis dari negeri Harran bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur bin Azar.  Hasil perkahwinan itu, Nabi Ishaq a.s. dikurniakan Allah swt dua anak kembar lelaki bernama Isy dan Ya’qub.  Nabi Ishaq a.s. lebih sayang kepada Isy berbanding Ya’qub, manakala isterinya lebih menyayangi Ya’qub.  Setelah dewasa Isy telah diangkat menjadi raja negeri Rom.  Dialah ayah kepada Nabi Ayub a.s., dan datuk kepada Nabi Zulkifli.  Sedangkan Ya’qub pula diangkat Allah swt menjadi seorang nabi yang melahirkan nabi dan rasul dari keturunan Bani Israil.

Nabi Ishaq a.s. wafat ketika berusia 180 tahun.  Baginda dikebumikan di Kota Hibrun, Palestin di samping ayahanda dan bonda baginda.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment