Wednesday, April 23, 2014

KISAH 8: NABI ISMAIL A.S - Beristeri



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN


 
8.3 Nabi Ismail a.s. Beristeri
Setelah dewasa, Nabi Ismail a.s. yang menjadi Nabi dan Rasul telah diutuskan kepada penduduk Mekah, Yemen. Amaliq dan kawasan-kawasan sekitarnya.  Orang Arab Jurhum telah mengambil Nabi Ismail a.s. menjadi menantu mereka dengan menikahkan dengan puteri mereka yang jelita.

Pada suatu hari Nabi Ibrahim a.s. yang tinggal di Palestin berasa sangat rindu untuk melihat kehidupan putera kesayangan baginda.  Ketika Nabi Ibrahim a.s. sampai ke Kota Mekah, putera baginda Nabi Ismail a.s., tidak ada di rumah.  Menantu baginda sahaja yang ada di situ.  Ketika Nabi Ibrahim a.s. bertanya kepada menatu baginda, dia memberitahu bahawa suaminya pergi berburu dan kehidupan mereka sangat susah.  Baginda tidak memberitahu siapa dirinya sebenar.  Ketika hendak pulang, Nabi Ibrahim a.s. berpesan kepada menantunya itu apabila suaminya balik nanti beritahu kepadanya supaya menukarkan segera daun pintu rumahnya dengan yang lain kerana daun pintu yang ada sekarang tidak sesuai dengan rumahnya.

Setelah Nabi Ismail pulang dari berburu, segera isterinya memberitahu berkenaan seorang tua datang ke rumah.  Isterinya memberitahu pesanan orang tua itu kepada baginda.  Maka ketahuilah Nabi Ismail a.s. bahawa yang datang itu adalah bapa baginda, Nabi Ibrahim a.s., dan bapanya telah meminta supaya baginda menceraikan isterinya kerana sifat dan sikap serta agamanya yang tidak baik.  Tanpa berlengah Nabi Ismail a.s. terus menceraikan isterinya dan bernikah pula dengan seornag gadis Jurhum yang lain.

Suatu hari Nabi Ibrahim a.s. datang lagi menziarah putera baginda itu, dan kebetulan juga ketika itu Nabi Ismail a.s. tidak ada di rumah kerana pergi berburu.  Nabi Ibrahim a.s. telah disambut oleh menantu kedua baginda dengan baik sekali dan mendapat penghormatan selaku orang tua.  Nabi Ibrahim a,s, tidak memperkenalkan diri baginda kepada menantunya.  Sebelum pulang, Nabi Ibrahim a.s. berpesan kepada menantu baginda itu supaya memberitahu kepada suaminya bahawa daun pintu rumah begitu elok sekarang.  Janganlah ditukar atau diganti lagi dengan yang lain.

Setelah Nabi Ismail a.s. pulang, isterinya menceritakan pesan daripada seorang tua berkenaan daun pintu rumah mereka.  Nabi Ismail a.s. menjawab itulah dia ayahku, dan dia suka sekali kepada kamu.

Setelah peristiwa menyembelih Nabi Ismail a.s. berlalu beberapa tahun, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya membina Ka’abah di Mekah.  Bekerjalah Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. membina Ka’abah.  Setelah siap, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya menyeru manusia mengerjakan ibadat haji.  Maka Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas Bukit Jabal Qubais dan menyeru manusia supaya datang mengerjakan ibadah haji di Mekah.  Nabi Ismail a.s. wafat di Mekah ketika usia baginda 145 tahun.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment