Friday, July 20, 2012

MERTABATKAN DIRI MENERUSI BUDI BAHASA


Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga,
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Tiada kata seindah bahasa, kata puitis yang sering diucapkan.  Budi bahasa adalah warisan turun temurun yang merupakan adat resam orang Melayu, budaya orang Timur.  Kita telah diajar berbudi bahasa sejak kecil lagi.  Budi bahasa juga melambangkan siapa diri kita di mata orang lain.  Ia juga membawa bersama maruah ibu bapa dan seterusnya akan mempengaruhi didikan anak-anak.  Ramai yang tersilap menyangka budi bahasa hanya berkaitan pertuturan yang sopan.  Sebenarnya budi bahasa lebih luas dari itu, ia juga merangkumi kelakuan termasuk bahasa badan (body language).


Namun tanpa disedari, nilai budi bahasa kini kian terhakis lantaran tuntutan mengejar kekayaan dan kesenangan dunia di samping perkembangan kemajuan teknologi.  Terhakis juga dek kerana perasaan tinggi diri dan memandang rendah kepada yang lain.  Keadaan ini berlaku ada kaitannya dengan persekitaran luaran terutamanya pengaruh kawan dan orang di sekeliling kita.  Namun, jika nilai budi bahasa ini tersemai dengan kukuh sejak dari kecil, ia sentiasa akan kekal dalam diri.  Oleh itu jagalah maruah diri, keluarga, agama dan bangsa.


Amalkan budi bahasa dalam berkomunikasi baik secara formal atau tidak formal.  Walaupun pangkat mungkin tinggi melangit, hormatilah orang yang lebih berusia.  Betul kata-kata 'melentur buluh biar dari rebung', tetapi masih belum terlambat untuk kita berlatih dan menyemai nilai budi bahasa dalam diri.


Sayangi yang muda kerana mereka adalah masa silam kita,
Hormati yang tua kerana mereka adalah masa hadapan kita.

No comments:

Post a Comment