Wednesday, April 23, 2014

KISAH 9: NABI ISHAQ A.S



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
 
Nabi Ibrahim a.s menamakan putera baginda dengan Siti Sarah ini Ishaq kerana mengambil sempena tertawa Siti Sarah ketika mendengar perkhabaran ketiga-tiga malaikat bahawa dia akan mengandung dan akan mendapat seorang anak.  Ishaq dalam bahasa Ibrani bererti ‘tertawa gembira dan bercampur rasa terkejut.

Nabi Ishaq a.s. diutuskan Allah swt kepada kaum Kab’an, iaitu kaum dari keturunan anak Nabi Nuh a.s. yang bernama Kab’an yang tinggal di Palestin.  Nabi Ishaq a.s. adalah adik kepada Nabi Ismail a.s. berlainan ibu.  Nabi Ishaq a.s. beribukan Siti Sarah, seorang puteri raja negeri Harran.  Manakala Nabi Ismail a.s beribukan Siti Hajar, wanita Qibti Mesir, hamba kepada Siti Sarah.

Setelah ayahanda mereka Nabi Ibrahim a.s. wafat, Nabi Ismail a.s terus pergi ke Palestin untuk menziarahi makam ayahnya.  Ketika mahu pulang semula ke Mekah, Nabi Ismail a.s. pergi berjumpa Nabi Ishaq a.s. atas tujuan ingin mendapatkan sedikit barang pusaka dan tanda kenangan di samping untuk mendapat berkat.  Tetapi Nabi Ishaq a..s enggan memberikannya.

Nabi Ishaq a.s. tidak mahu menyerahkan sebahagian barang pusaka arwah ayahandanya kepada Nabi Ismail a.s. kerana Nabi Ismail a.s. hanya anak gundik sedangkan baginda adalah anak gahara (anak raja) yang berhak di atas semua barang-barang pusaka peninggalan arwah ayahandanya itu.

Ketika Nabi Ismail a.s. mendapat tahu kata-kata saudaranya Nabi Ishaq a.s. itu, maka dia berasa sangat sedih dan berkecil hati.  Lantas dia terus pulang ke Mekah dengan kecewanya.  Tak lama kemudian turunlah Malaikat JIbrail a.s. kepada Nabi Ishaq a.s. dan menegur perbuatan baginda itu.  Malaikat Jibrail a.s. menjelaskan tentang kelebihan dari keturunan Nabi Ismail a.s. akan lahir seorang nabi terbesar dan teragung bernama Muhammad, nabi yang paling mulia di atas seluruh manusia.  Muhammad itulah yang akan memohon syafaat untuk umatnya pada Hari Qiamat kelak.

Malaikat Jibrail a.s seterusnya bertanya mengapa Nabi Ishaq a.s. menghina abangnya Nabi ismail a.s.  Malaikat Jibrail menjelaskan bahawa anak cucu Nabi Ishaq a.s akan ditawan orang dan akan menjadi hamba dan orang suruhan.  Setelah Nabi Ishaq a.s. mendengar kata-kata teguran dan penjelasan daripada Malaikat Jibaril a.s., maka menyesallah Nabi Ishaq a.s. di atas keterlanjuran lidahnya.  Kerana menyesal di atas keikhlafannya itu, Nabi Ishaq a.s. telah betaubat kepada Allah swt.  Sejak hari itu baginda tidak berhenti menangis sehingga matanya menjadi buta.

Nabi Ishaq a.s dinikahkan ayahandanya, Nabi Ibrahim a.s., dengan seorang gadis dari negeri Harran bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur bin Azar.  Hasil perkahwinan itu, Nabi Ishaq a.s. dikurniakan Allah swt dua anak kembar lelaki bernama Isy dan Ya’qub.  Nabi Ishaq a.s. lebih sayang kepada Isy berbanding Ya’qub, manakala isterinya lebih menyayangi Ya’qub.  Setelah dewasa Isy telah diangkat menjadi raja negeri Rom.  Dialah ayah kepada Nabi Ayub a.s., dan datuk kepada Nabi Zulkifli.  Sedangkan Ya’qub pula diangkat Allah swt menjadi seorang nabi yang melahirkan nabi dan rasul dari keturunan Bani Israil.

Nabi Ishaq a.s. wafat ketika berusia 180 tahun.  Baginda dikebumikan di Kota Hibrun, Palestin di samping ayahanda dan bonda baginda.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

KISAH 8: NABI ISMAIL A.S - Beristeri



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN


 
8.3 Nabi Ismail a.s. Beristeri
Setelah dewasa, Nabi Ismail a.s. yang menjadi Nabi dan Rasul telah diutuskan kepada penduduk Mekah, Yemen. Amaliq dan kawasan-kawasan sekitarnya.  Orang Arab Jurhum telah mengambil Nabi Ismail a.s. menjadi menantu mereka dengan menikahkan dengan puteri mereka yang jelita.

Pada suatu hari Nabi Ibrahim a.s. yang tinggal di Palestin berasa sangat rindu untuk melihat kehidupan putera kesayangan baginda.  Ketika Nabi Ibrahim a.s. sampai ke Kota Mekah, putera baginda Nabi Ismail a.s., tidak ada di rumah.  Menantu baginda sahaja yang ada di situ.  Ketika Nabi Ibrahim a.s. bertanya kepada menatu baginda, dia memberitahu bahawa suaminya pergi berburu dan kehidupan mereka sangat susah.  Baginda tidak memberitahu siapa dirinya sebenar.  Ketika hendak pulang, Nabi Ibrahim a.s. berpesan kepada menantunya itu apabila suaminya balik nanti beritahu kepadanya supaya menukarkan segera daun pintu rumahnya dengan yang lain kerana daun pintu yang ada sekarang tidak sesuai dengan rumahnya.

Setelah Nabi Ismail pulang dari berburu, segera isterinya memberitahu berkenaan seorang tua datang ke rumah.  Isterinya memberitahu pesanan orang tua itu kepada baginda.  Maka ketahuilah Nabi Ismail a.s. bahawa yang datang itu adalah bapa baginda, Nabi Ibrahim a.s., dan bapanya telah meminta supaya baginda menceraikan isterinya kerana sifat dan sikap serta agamanya yang tidak baik.  Tanpa berlengah Nabi Ismail a.s. terus menceraikan isterinya dan bernikah pula dengan seornag gadis Jurhum yang lain.

Suatu hari Nabi Ibrahim a.s. datang lagi menziarah putera baginda itu, dan kebetulan juga ketika itu Nabi Ismail a.s. tidak ada di rumah kerana pergi berburu.  Nabi Ibrahim a.s. telah disambut oleh menantu kedua baginda dengan baik sekali dan mendapat penghormatan selaku orang tua.  Nabi Ibrahim a,s, tidak memperkenalkan diri baginda kepada menantunya.  Sebelum pulang, Nabi Ibrahim a.s. berpesan kepada menantu baginda itu supaya memberitahu kepada suaminya bahawa daun pintu rumah begitu elok sekarang.  Janganlah ditukar atau diganti lagi dengan yang lain.

Setelah Nabi Ismail a.s. pulang, isterinya menceritakan pesan daripada seorang tua berkenaan daun pintu rumah mereka.  Nabi Ismail a.s. menjawab itulah dia ayahku, dan dia suka sekali kepada kamu.

Setelah peristiwa menyembelih Nabi Ismail a.s. berlalu beberapa tahun, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya membina Ka’abah di Mekah.  Bekerjalah Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. membina Ka’abah.  Setelah siap, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya menyeru manusia mengerjakan ibadat haji.  Maka Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas Bukit Jabal Qubais dan menyeru manusia supaya datang mengerjakan ibadah haji di Mekah.  Nabi Ismail a.s. wafat di Mekah ketika usia baginda 145 tahun.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

KISAH 8: NABI ISMAIL A.S - Korban



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN


 
8.2 Korban Nabi Ismail a.s.
Setelah Nabi Ismail a.s. memasuki usia baligh, ayahandanya, Nabi Ibrahim a.s. bermimpi baginda menyembelih putera baginda itu.  Baginda tahu bahawa itu sebenarnya adalah perintah Allah swt kepada baginda sebagai ujian.  Siti Hajar sukar menerima dugaan itu.  Sementara Nabi Isnail a.s. pula bersedia menerima ujian itu.  Maka bersiap-siaplah tiga beranak itu menghadapi ujian Allah swt.

Sewaktu Siti Hajar keseorangan di rumah, datanglah Iblis laknatullah ke rumah dengan menjelma sebagai seorang manusia yang salih untuk meracuni fikiran Siti Hajar.  Iblis laknatullah gagal dan berputus asa menggoda Siti Hajar.  Si laknat itu pergi pula berjumpa Nabi Ismail a.s.  Nabi Ismail a.s. memberitahu ayahnya bahawa Iblis laknatullah telah menggodanya supaya jangan berkorban.  Maka Nabi Ibrahim a.s. menyuruh Nabi Ismail a.s. mengambil batu dan melontarkan ke arah Iblis laknatullah.

Setelah tiba masa untuk memulakan ibadat korban, Nabi Ismail a.s. meminta Nabi Ibrahim a.s. mengikat dirinya kuat-kuat supaya kerja ayahnya menjadi mudah.  Nabi Ismail a.s. juga meminta ayahnya membuka baju agar ibunya tidak sedih melihat darah pada pakaian nanti.  Permintaan Nabi Ismail yang ketiga ialah pisau yang digunakan hendaklah tajam dan cepat penyembelihannya.  Permintaan ke empat ialah sampaikan salamnya kepada ibunya dan berikan pakaiannya untuk menghibur kerinduan ibunya.

Ketika tiba saatnya, Iblis laknatullah datang lagi menggoda Nabi Ibrahim a.s.  Tanpa menghiraukan suara godaan untuk melemahkan iman dan semangat ketakwaan baginda terhadap Allah swt.  Nabi Ibrahim a.s. terus membaringkan putera tercinta baginda, kemudian baginda memejamkan mata kerana tidak sampai hati untuk melihat leher puteranya dihiris.  Ketika terasa darah sudah mercik di tangannya, Nabi Ibrahim a.s. membuka matanya dan melihat yang disembelih adalah seekor kibasy yang besar.  Nabi Ismail a.s. sudah duduk di sisi ayahnya.

Kibasy yang disembelih oleh Nabi Ibrahim a.s. itu adalah kibasy yang asalnya korban Habil.  Ketia Nabi Ibrahim a.s. meletakkan mata pisau di leher Nabi Ismail a.s., Allah swt memerintahkan malaikat Jibrail a.s. supaya menukarkan Nabi Ismail a.s. dengan kibasy.

bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)