Tuesday, May 20, 2014

KISAH 25 NABI-NABI: KISAH 10 - NABI YA’QUB A.S



TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
thewagonhouse.com
Nabi Ya’qub a.s. adalah cucu Nabi Ibrahim a.s.  Baginda adalah bapa kepada kaum Israil yang kini lebih dikenali dengan nama kaum Yahudi.

Nabi Ya’qub a.s. diangkat menjadi Nabi hasil dari doa ayahandanya, Nabi Ishaq a.s. di mana di hari tuanya, Nabi Ishaq a.s. buta kedua-dua belah matanya berpunca kerana baginda sangat banyak menangis.  Pada suatu hari Nabi Ishaq a.s. berhasrat untuk mendoakan keberkatan kepada kedua-dua putera baginda, Isy dan Ya’qub.  Isteri Nabi Ishaq a.s. telah membawa anaknya Ya’qub ke hadapan suaminya kerana Isy tiada di rumah.  Nabi Ishaq a.s. terus mendoakan keberkatan hidup dan keNabian untuk Nabi Ya’qub a.s.

Riwayat lain menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi Ishaq a.s. telah memanggil anaknya Isy dan memberitahu bahawa baginda teringin untuk makan daging kijang.  Nabi Ishaq a.s. berjanji akan mendoakan ke hadirat Allah swt agar orang yang dapat memberinya makan daging kijang akan menjadi Nabi sesudah dirinya.  Maka tanpa berlengah Isy terus keluar memburu ke hutan untuk mendapatkan seekor kijang.

Isteri Nabi Ishaq a.s., Rifqah binti Bitauel bin Nahur bin Azar, telah mendengar kata-kata Nabi Ishaq a.s. kepada Isy itu.  Agar Ya’qub tidak terlepas peluang itu, Rifqah binti Bitauel telah menyuruh Ya’qub menyembelih seekor kambing dan memberi makan ayahandanya.  Maka Nabi Ishaq a.s. terus menadah tangan dan mendoakan kenabian kepada anaknya yang telah memberinya makan gulai itu.  Setelah Isy pulang membawa kijang dan menggulainya, Nabi Ishaq a.s. hairan kerana dia sudah makan daging kijang sebentar tadi.  Isy telah menyedari perbuatan saudaranya Ya’qub dan memberitahu ayahandanya, Nabi Ishaq a.s. perkara yang sebenar.  Tetapi Nabi Ishaq a.s. memaklumkan bahawa segala-galanya sudah berakhir.

Isy berasa marah akan Ya’qub.  Setelah Ya’qub sedar Isy begitu marah, beliau pergi berjumpa ayahandanya meminta nasihat dan pandangan.  Setelah mendengar, Nabi Ishaq a.s. berasa amat sedih dan beliau telah menasihatkan Ya’qub untuk pergi ke desa Fadan A’ram di negeri Irak tempat tinggal bapa saudaranya, Laban bin Bitauel.setelah mendapat nasihat dairpada ayahandanya, Nabi Ya’qub a.s. berangkatlah menuju ke desa Fadan A’ram, tempat tinggal bapa saudaranya itu.  Nabi Ya’qub a.s. berjalan pada malam hari dan berehat pada siang hari.

www.booktryst.com
Pada suatu hari Nabi Ya’qub a.s. yang keletihan telah tidur di atas sebuah batu yang agak besar.  Baginda telah bermimpi melihat sekelompok malaikat sedang mendaki ke langit dan sekelompok lagi sedang menurun ke bumi.  Dalam mimpi tiu, Nabi Ya’qub telah melihat Allah swt.  Setelah terjaga dari tidur, baginda berasa teramat gembira.  Baginda terus bernazar untuk membina sebuah rumah untuk beribadat kepda Allah swt.  Nabi Ya’qub a.s. telah melumurkan batu besar tempat alas tidurnya dengan minyak zaitun supaya mudah dikenali dan diingati.

Setelah itu Nabi Ya’qub a.s. meneruskan perjalanan baginda ke negeri Fadam A’ram.  Nabi Ya’qub a.s. bertanya kepada penduduk di situ akan rumah Laban bin Bituael.  Puteri Laban yang bongsu bernama Rahil, yang kebetulan berada di situ telah membawa Nabi Ya’qub a.s. berjumpa dengan bapa saudara baginda dan lalu Nabi Ya’qub a.s. menceritakan kisah baginda.  Maka tinggallah Nabi Ya’qub a.s. di rumah bapa saudara baginda itu.

Diriwayatkan oleh ahli-ahli tafsir bahawa Laban bin Bitauel adalah seorang yang terkenal di negeri itu.  Namanya ialah Laban bin Bitauel bin Nahur bin Azar.  Dia adalah seorang hartawan yang kaya raya.  Dia mempunyai 2 orang puteri, yang sulung bernama Laya, dan yang bongsu bernama Rahil.  Laban tidak mahu Nabi Ya’qub a.s. menikahi anak bongsunya yang cantik dengan meninggalkan si kakak.  Laban meminta Nabi Ya’qub a.s. supaya terlebih dahulu mengahwini si kakak, kemudian baru menikahi si adik.  Nabi Ya’qub a.s. bersetuju dengan syarat itu.

Mengikut syariat Nabi Ishak a.s., seseorang yang mahu berkahwin wajib membayar mas kahwin.  Oleh kerana Nabi Ya’qub adalah seorang perantau yang miskin, Laban menetapkan mas kahwinnya iaitu Nabi Ya’qub mesti bekerja dengannya selama 7 tahun.  Setelah genap 7 tahun, maka Nabi Ya’qub a.s. pun dikahwinkan dengan Laya.

Kerana cinta Nabi Ya’qub a.s. kepada Rahil, baginda telah bekerja selama 7 tahun lagi sebagai mas kahwin untuk menikahi Rahil.  Setelah genap 7 tahun bekerja, maka Nabi Ya’qub a.s. pun berkahwin dengan Rahil.  Nabi Ya’qub a.s. terus tinggal di negeri Fadam A’ram.

commons.wikimedia.org
Laban bin Bitauel memberi kedua-dua puterinya masing-masing seorang khadam.  Khadam Laya bernama Zulfah, manakala khadam Rahil bernama Balhah.  Nabi Ya’qub a.s. jatuh hati kepada kedua-dua khadam isteri-isteri baginda.  Kedua-dua isteri Nabi Ya’qub a.s. bersetuju untuk menyerahkan khadam mereka masing-masing untuk dinikahkan dengan suami mereka.  Hasil daripada perkahwinan Nabi Ya’qub a.s. dengan keempat-empat orang isterinya, baginda memperolehi 12 orang putera.  Mengikut riwayat, semua 11 orang putera baginda lahir di negeri Fadam A’ram.  Hanya Bunyamin seorang sahaja yang lahir di Palestin.

ISTERI
LAYA
RAHIL
ZULFAH
BALHAH
ANAK
Raubin
Yusuf
Jad
Daan
Syam’un
Bunyamin (Rahil meninggal dunia ketika lahirkan Bunyamin)
Athir
Naftali
Lawi


Yahuza


Yasakir


Zabulun



Kesemua putera Nabi Ya’qub a.s. yang 12 orang itu mempunyai kelebihan peribadi yang tidak terdapat pada orang lain.  Dari kesemua putera Nabi Ya’qub a.s. itu (selain Nabi Yusuf a.s.) tiada yang lebih gagah perkasa melebihi Raubin, dan tiada yang lebih kacak dan berkat melebihi Yahuza.  Dikatakan keperkasaan Raubin bahawa dia boleh bertempik sehingga menjadikan telinga Menteri Mesir pekak dan perempuan mengandung keguguran.  Manakala Yahuza mempunyai kelebihan pada tangannya iaitu jika dia menyentuh seseorang yang sedang sakit, sakit itu akan menjadi sembuh dengan izin Allah swt.

Nabi Ya’qub a.s. telah diutus ke negeri Kan’an.  Ketika baginda sedang sibuk berdakwah, tiba-tiba datang sebuah angkatan perang hendak menakluk negeri Kan’an (Nubulis).  Angkatan perang itu diketuai oleh seorang raja bernama Saljam.  Raja Saljam marah kerana menganggap Nabi Ya’qub a.s. menceroboh kawasannya.

Meletuslah pertempuran di antara Nabi Ya’qub a.s. bersama 10 orang anaknya (dengan bantuan Allah swt dan para maklaikat) menentang Raja Saljam dan angkatan perangnya.  Angkatan Nabi Ya’qub a.s. diketuai oleh putera baginda yang kedua bernama Syam’un.  Syam’un ialah anak Nabi Ya’qub a.s. yang paling berani dan paling perkasa.

Allah swt telah memasukkan dalam hati Raja Saljam dan angkatan perangnya rasa gementar kepada Nabi Ya’qub a.s. menyebabkan dia masuk bersembunyi di dalam sebuah benteng (kubu).  Syam’un telah meminta izin untuk menghancurkan benteng batu itu.  Setelah Nabi Ya’qub a.s. mengizinkannya, berjalanlah Syam’um ke pintu benteng tempat perlindungan musuh itu dan terus berdoa ke hadirat Allah swt.  Setelah Syam’un selesai berdoa, dia terus menendang pintu benteng itu, lalu pintu itu menimpa askar-askar Raja Saljam.  Maka ramailah askar yang terbunuh.  Nabi Ya’qub a.s. bersama putera-putera baginda terus menyerbu dan mengalahkan askar Raja Saljam.  Selepas Nabi Ya’qub a.s. selesai berperang dengan Raja Saljam, baginda telah meninggalkan negeri Kan’an dan berpindah ke Palestin.

scholar.lib.vt.edu
Diriwaytkan bahawa Nabi Ya’qub a.s. mempunyai wajah yang amat kacak dan tampan, tiada tolok bandingnya pada zaman itu.  Baginda termasuk dalam golongan 11 orang Nabi yang memiliki wajah yang hampir serupa iaitu:
1.    Nabi Adam a.s.
2.    Nabi Syith a.s.
3.    Nabi Idris a.s.
4.    Nabi Ibrahim a.s.
5.    Nabi Ismail a.s.
6.    Nabi Ishaq a.s.
7.    Nabi Ya’qub a.s.
8.    Nabi Yusuf a.s.
9.    Nabi Musa a.s.
10.  Nabi Harun a.s.
11.  Nabi Muhammad s.a.w.

Pernah terjadi suatu peristiwa yang dahsyat di antara Nabi Ya’qub a.s. dengan putera Raja Mesir bernama Arim al-Adi.  Pada suatu hari Nabi Ya’qub a.s. sedang duduk berhadap dengan Raja Mesir Malik Riyan bersama-sama putera baginda.  Ketika itu Raja Malik Riyan menilik rupa Nabi Ya’qub a.s. yang merupakan seorang insan yang sangat hebat ulahtingkahnya tetapi sudah sangat tua usianya.  Putera Malik Riyan, Arim al-Adi yang sedang duduk di belakang ayahandanya itu mencelah menyatakan bahawa Nabi Ya’qub a.s. berdusta bila menyatakan usianya ialah 120 tahun.  Nabi Ya’qub a.s. terus berdoa ke hadirat Allah swt, maka tiba-tiba dagu Arim al-Adi menjadi lanjut sampai ke dada, dan lidahnya keluar berjulur seperti lidah anjing dan lehernya pula menjadi pendek.  Raja Mesir telah memohon kemaafan bagi pihak anaknya.  Maka timbul rasa kasihan dalam hati Nabi Ya’qub a.s.  Baginda bersetuju memaafkan Arim al-Adi dan berdoa kepada Allah swt untuk memulihkan wajah Arim.

Nabi Ya’qub a.s. wafat pada usia 164 tahun.  Baginda dikebumikan di Kota Baitul Maqdis di Palestin.


bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment