Sunday, July 22, 2012

PEMURAH DAN BERKASIH SAYANG



Sifat pemurah, pengasih lagi penyayang harus dimiliki oleh semua insan.  Dengan sentiasa mengamalkan sifat-sifat ini, insya'allah hati akan mudah rasa bahagia, bebas dari sifat riak, bangga diri dan cintakan dunia.

Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut.  Sifat sukakan harta, kekayaan dan kemewahan adalah sifat semulajadi manusia.  Sememangnya kita juga dituntut untuk mencari kemewahan dan kekayaan.  Tetapi tuntutan mencari harta dan kekayaan itu bukan untuk diri sendiri sahaja.  Tanggungjawab sebagai seorang yang berharta hendaklah ditunaikan.  Tanamkanlah sifat pemurah dalam diri dengan banyak memberi sumbangan.  Sumbangan tidak semestinya dengan hanya memberi wang kepada yang memerlukan.  Bagi seseorang yang berjaya, pemurah boleh dalam bentuk mengusahakan perniagaan dengan hasrat dapat menyediakan peluang pekerjaan.

Jadilah umpama kata-kata, 'Jika kita memberikan ikan kepada yang perlukan makanan, maka kita akan hanya memberinya makan pada hari berkenaan sahaja.  Tetapi jika kita memberikannya joran dan mengajarnya memancing, maka kita dapat memberikannya makanan seumur hidupnya'.  Bagi yang tidak mempunyai harta untuk berbuat demikian, hulurkanlah sumbangan semampunya dengan bersedekah kepada yang amat memerlukan.  Memberilah dengan sedekah yang paling murah iaitu senyuman dan ucapan salam.  Sedekah mengubat hati yang sakit dan meluaskan rezeki.
 
 Sifat pemurah akan mudah dipupuk dengan adanya sifat kasih sayang.  Kasih sayang yang melimpah ruah membolehkan manusia hidup dan bermasyarat dalam harmoni.  Permusuhan dan persengketaan serta prasangka akan dapat dielakkan sebab rasa kasih sayang yang wujud di antara kita..

Perasaan saling menyayangi juga akan dapat hindari sikap persaingan yang tidak sihat dalam diri manusia.  Tali persaudaraan yang kukuh akan dapat diwujudkan melalui berkasih sayang.  Ini secara tidak langsung akan menguatkan semangat kerja berpasukan (teamwork) yang sering dilaungkan.

 

No comments:

Post a Comment