KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
KISAH 5
NABI SALIH a.s
Di dataran al-Hijr, yang
letaknya di kawasan bukit bukau berbatu di antara Hijaz dengan Syam, tinggal
satu suku Arab yang dinamakan kaum Thamud.
Jumlah mereka dianggarkan seramai 4,000 sehingga 25,000 orang. Mereka dinamakan kaum Thamud kerana mereka
berasal daripada keturunan seorang lelaki yang bernama Thamud bin Abir bin Iram
bin Sam bin Nuh a.s. Thamud adalah
bersaudara sepupu dengan Ad. Tanah
al-Hijr sangat subur dan amat sesuai untuk bercucuk tanam. Kehidupan kaum Thamud mewah dengan mereka
membina perkampungan di bumi al-Hijr.
Mereka mempunyai keahlian di dalam bercucuk tanam, memahat bukit-bukit
batu sehingga menjadi rumah mereka yang megah.
Setelah 100 tahun kewafatan Nabi
Hud a.s., kaum Thamud mula lupa daratan.
Kaum Thamud di atas pujukan Iblis la’natullah telah mencipta sebuah
patung berhala daripada perak. Berhala
itu diletakkan di atas sebuah bukit yang bernama bukit Kahirul Sakhar. Setiap hari mereka pergi ke bukit Kahirul
Sakhar untuk menyembah dan memuja berhala perak itu.
Allah swt telah mengutuskan
seorang Nabi dan Rasul dari kalangan mereka bernama Salih bin Abd bin Masah bin
Ubaid bin Hajiz bin Thamud bin Amir bin Iram bin Sam bin Nuh a.s. Nabi Salih a.s. dilahirkan dalam keluarga
yang mulia dan bangsawan. Baginda adalah
insan yang paling kacak sekali pada zaman baginda. Nabi Salih a.s. juga dikurniakan Allah swt
kepintaran, kecerdikan dan ketangkasan dalam serba serbi perbuatan dan
pekerjaan; seorang yang sangat merendah diri, sangat ramah tamah dan mudah
mesra. Nabi Salih a.s. diutus kepada
kaum Thamud untuk menyeru mereka agar beriman kepada Allah swt.
Kaum Thamud tetap tidak mahu
percaya. Mereka telah mengusir Nabi
Salih a.s. Baginda telah melarikan diri
ke dalam sebuah gua. Tatkala baginda
hendak melangkah masuk, Nabi salih a.s. sangat terperanjat serta takjub
mendapati sebuah katil yang bercahaya cemerlang menerangi gua itu. Setelah Nabi Salih a.s. mendekati katil yang
indah itu, tiba-tiba mata baginda merasa sangat mengantuk. Nabi Salih a.s. terus merebahkan diri dan
terus tidur lena. Diriwayatkan nabi
salih a.s. tidur selama 40 tahun.
Setelah berlalu masa 40 tahun,
Nabi Salih a.s. diperintahkan Allah swt agar pergi berdakwah kepada kaum
Thamud. Kaum Thamud telah meminta kepada
Nabi Salih a.s. menunjukkan bukti atau mukjizat kepada mereka. Mereka telah meminta Nabi salih a.s. mengeluarkan
seekor unta daripada batu yang tidak mempunyai gua.
Nabi salih a.s. berdoa ke
hadhirat Allah swt. Maka muncul Malaikat
Jibrail a.s. memerintah Nabi Salih a.s. supaya mengumpul seluruh kaum Thamud di
suatu padang yang terdapat sebuah bukit tidak burgua. Setelah seluruh kaum Thamud berkumpul, Nabi
Salih a.s. terus mengerjakan solat 2 rakaat memohon agar Allah swt mengkabulkan
permintaan kaum baginda. Setelah Nabi
Salih a.s. selesai mengerjakan solat, dan berdoa, maka tiba-tiba kedengaran
bukit itu menjerit seperti ibu yang sakit mahu melahirkan. Tiba-tiba bukit itu terbelah dan keluar dari
dalamnya seekor unta betina yang besar. Tiba-tiba
unta betina itu bunting dan sebentar itu juga unta betina mukjizat itu
melahirkan seekor anak. Tanah dekat unta
itu tiba-tiba tenggelam membentuk sebuah perigi yang berisi air. Lantas unta 2 beranak itu terus meminum air
telaga itu dan kemudian terus beredar ke padang memakan rumput.
Setelah melihat beberapa
keajaiban, sebahagian kaum Thamud yang diketuai oleh Jundu’ bin Amru bin
Muhlaah bin Labid Jawwas telah beriman. Nabi
Salih a.s. mengingatkan agar tidak mengganggu unta betina itu. Jika mereka engkar, bala Allah swt akan
menimpa mereka. Antara peraturannya
ialah bila unta betina mukjizat itu meminum air telaga tersebut maka
binatang-binatang ternak kaum Thamud perlu digiring ke tempat lain yang ada
telaga.
Para penternak mula bermesyuarat
sesama mereka. Keputusan yang diambil
ialah binatang ternakan mereka perlu dapat minum di telaga millik Nabi Salih
a.s. itu. Dan mereka perlu menyekat
pengaruh Nabi Salih a.s. yang semakin merebak, dengan menghapuskan unta betina
itu.
Terdapat 2 orang perempuan yang
turut memberi semangat untuk meghapuskan unta itu. Seorang daripada mereka ialah perempuan janda
yang sangat cantik mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kaum Thamud. Namanya Syaduq binti Mahya. Dia pergi bertemu dengan seorang pemuda
bernama Musyadda’ bin Muharrij dan bersedia untuk menyerahkan kehormatannya
kepada pemuda tersebut sekiranya sanggup menyembelih unta itu. Manakala seorang lagi ialah seorang perempuan
tua yang bersedia menyerahkan kehormatan anak gadisnya kepada sesiapa yang
sanggup membunuh unta itu. Dia telah
bertemu dengan seorang pemuda bernama Qudar bin Salif yang bersedia melakukan
perbuatan terkutuk itu. Kedua-dua pemuda
itu telah dibantu oleh 7 orang pemuda lain untuk menjalankan kerja-kerja
membunuh unta itu.
Musyadda’ bin Muharrij dan Qudar
bin salif bersama 7 orang pemuda Thamud keluar ke tempat unta itu pada malam
hari. Musyadda’ terus memanah kaki unta
betina itu. Qudar bin Salif lantas
menyembelih unta itu sehingga mati. Setelah
anak unta melihat ibunya telah mati dibunuh, anak unta itu terus lari menyelamatkan
diri. Ketika sedang berlari, anak unta
itu bersuara sebanyak 3 kali. Kemudian ia
ghaib. Kesembilan orang musuh Allah swt
itu tercengang hairan melihat peristiwa yang berlaku depan mata mereka.
Mereka pergi berjumpa dengan
Nabi Salih a.s. memberitahu bahawa mereka telah membunuh unta mukjizat baginda,
dan datangkanlah bencana yang diancamkan.
Nabi Salih a.s. menjawab menyatakan bahawa mereka benar-benar telah
berbuat dosa. Mereka hanya boleh bersuka
ria selama 3 hari sahja di atas kematian unta itu. Kaum Thamud terus mengejek-ngejek Nabi Salih
a.s. Nabi Salih a.s. menjelaskan bahawa
azab Allah swt akan datang sebaik kaum kafir itu terjaga dari tidur pada
sebelah pagi.
Pada hari pertama, wajah mereka
berubah menjadi warna kuning. Pada hari
kedua menjadi warna merah. Dan pada hari
ketiga, berubah menjadi hitam macam arang.
Pada hari keempat, bala yang dahsyat akan menimpa.
Sebaik sahaja kumpulan 9 orang
itu mendengar ancaman tersebut, mereka berpakat untuk membunuh Nabi Salih a.s.
pada malam harinya. Maka bergeraklah
mereka ke rumah Nabi salih a.s. pada malamnya untuk membunuh baginda. Tiba-tiba kepala mereka telah dihujani
batu-batu besar. Maka matilah 9 orang
itu.
Sebelum hari keempat, Nabi salih
a.s. membawa semua pengikut baginda yang beriman seramai 4,000 orang itu keluar
daripada perkampungan al-Hijr. Mereka berpindah
ke negeri Palestine, di Kota Ramallah. Setelah
Nabi Salih a.s. dan pengikut baginda keluar daripada perkampungan al-Hijr itu,
bala Allah swt menimpa kaum Thamud yang berupa suara petir yang memecahkan
gegendang telinga.
Dengan musnahnya kaum Thamud,
maka berakhirlah kisah perjuangan Nabi Salih a.s. dengan kaum Thamud. Nabi salih a.s. wafat setelah mencapai usia
180 tahun.
bersambung...
(untuk
baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)
No comments:
Post a Comment