KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
KISAH 6
NABI IBRAHIM a.s
Selepas berlalu
1,600 tahun wafatnya Nabi Salih a.s., wujud sebuah kerajaan yang diperintah
oleh seorang raja yang sangat zalim di negeri Irak. Allah swt telah menghancurkan kerajaan raja
zalim itu. Setelah itu berdiri sebuah
kerajaan baru yang berajakan Namrud bin Karus bin Kan’an bin Adam bin Naqur bin
Sam bin Nuh.
Namrud pandai
dalam beberapa bahasa asing. Dia sangat
mempercayai nujum. Dia juga dikenali
sebagai sang Arjuna. Namrud sangat gagah
dan mempunyai angkatan perang yang sangat kuat.
Banyak negeri di sekitar Irak telah masuk bawah jajahan takluknya. Setiap tahun, negeri-negeri tersebut
menghantar upti bunga emas kepadanya.
Pusat pemerintahannya ialah Kota Babil, ibu negeri Babilon.
Para ahli nujum
Raja Namrud telah mempersembahkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki yang
akan menentang kepercayaan dan meruntuhkan kerajaannya. Raja Namrud terus mengeluarkan perintah agar
semua rakyatnya jangan berkahwin. Bagi
yang sudah berkahwin, hendaklah mereka bercerai. Semua tentera dikerah menjaga setiap rumah di
negeri Babilon agar tidak terjadi perhubungan suami isteri.
Raja Namrud
mempunyai seorang pengawal yang sangat disayangi. Cinta dan kasih kepada pengawal tersebut
adalah kerana budi bahasanya yang mulia disertai dengan rupa paras yang kacak
menawan. Pengawal itu juga seorang yang
sangat pandai mengukir patung, yang kemudiannya akan dijual kepada orang ramai.
Raja Namrud
jarang berpisah dengan pengawal itu.
Nama pengawal kesayang itu ialah Azar bin Tahur dari keturunan Sam bin
Nuh a.s. (Azar bin Tahur bin Saruj bin Rau’ bin Falij bin Abir bin Salih bin
Arfakhsyad bin Sam bin Nuh a.s.). Kerja
Azar ialah memegang pedang sepanjang masa.
Pada waktu malam, Azar memegang pedang di tangan kanan, lilin dan
makanan di tangan kiri. Dia duduk di
kepala Raja Namrud ketika raja itu tidur.
Pada hari
terluang, Azar memahat patung berhala.
Setelah keluar perintah larangan tidak boleh beristeri dan yang sudah
berkahwin kena bercerai, Azar terus tidak pulang. Dia menahan rasa rindu kepada isterinya kerana
dia sangat takut kepada hukuman Raja Namrud.
Isterinya gelisah seribu kerinduan.
Allah swt menambah rasa berahi ke dalam diri isteri Azar. Pada suatu malam, isteri Azar pergi ke istana
Raja Namrud untuk berjumpa suaminya. Ketika
isteri Azar sampai, istana sunyi sepi. Semua
isi istana sudah tidur. Allah swt
mengatur supaya isteri Azar dapat bersama suaminya.
Pada keesokan
harinya, Raja Namrud melihat airmuka Azar bin Tahur hilang cahaya serinya yang
gilang gemilang. Ini adalah kerana nur
Nabi Ibrahim a.s. yang dikandung dalam sulbinya sudah turun ke dalam rahim isterinya. Hati Raja Namrud mula gelisah dan
curiga. Baginda bertanya kepada ahli
nujum istana tentang bayi yang akan mengancam kerajaannya. Para nujum memaklumkan bahawa bayi tersebut
sudah berada dalam kandungan ibunya. Maka
Raja Namrud memerintah polisnya pergi ke setiap rumah memeriksa setiap ibu, dan
sekiranya ada di antara mereka yang mengandung, anak dalam kandungan itu
hendaklah dibunuh.
Dengan hikmat dan
pertolongan Allah swt, rumah Azar tidak didatangi polis Raja Namrud. Pada suatu hari, sewaktu Azar pulang ke rumah
untuk suatu hajat, isterinya memaklumkan bahawa sudah sampai masa untuk
melahirkan. Azar mencadangkan agar isterinya
bersalin jauh dari kesibukan orang ramai.
Isteri azar telah pergi ke pinggir bukit dan menemui sebuah gua. Dia melahirkan seorang bayi lelaki yang
sangat cantik. Bayi tersebut
ditinggalkan di dalam gua setelah diberi nama Ibrahim. Isteri Azar pulang ke rumah kerana bimbang orang
ramai akan curiga. Malaikat Jibrail a.s.
menjaga keselamatan Nabi Ibrahim a.s.
Malaikat Jibrail a.s. memasukkan jari bayi itu ke dalam mulutnya. Dari jari itu keluar dua jenis minuman iaitu
susu dan madu beselang seli.
Sewaktu isteri
azar melawat anaknya, dia mendapati anaknya masih hidup dan bermain dengan
riangnya. Nabi Ibrahim a.s. dibersihkan
dan diselimuti semula. Seminggu kemudian
dia datang lagi. Dia terus berulang alik
setiap minggu sampailah Nabi Ibrahim a.s. mencapai usia 5 tahun.
credit: wiwit25.blogspot.com |
No comments:
Post a Comment