Wednesday, January 9, 2013

1.3. NABI ADAM a.s: Qabil dan Habil



KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN
 KISAH 1
NABI ADAM a.s



Qabil dan Habil

Setelah mendapat keampunan Allah s.w.t., Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa pun memulakan kehidupan mereka di bumi.  Mereka dikurniakan anak-anak kembar.  Kembar pertama yang lahir dinamakan Qabil dan Iqlima.  Kembar kedua dinamakan Habil dan Labuda (Arifah).  Setelah remaja, Qabil minat bercucuk tanam sementara Habil pula suka menternak kambing.

Allah s.w.t. telah menurunkan hukumNya berupa 10 lembaran suhuf kepada Nabi Adam a.s. yang antaranya mengandungi hukum pernikahan, iaitu kembar pertama hendaklah dikahwinkan dengan pasangan kembar kedua.  Begitulah seterusnya.  Apabila Qabil mendengar hukum Allah s.w.t. yang disampaikan oleh Nabi Adam a.s., di mana dia akan dijodohkan dengan Labuda, dia meradang dan enggan bersetuju.

 Nabi Adam a.s. berdukacita atas tindakan Qabil yang menuduhnya membuat sendiri hukum tersebut.  Untuk membuktikan bahawa hukum itu adalah daripada Allah s.w.t., Nabi Adam a.s. telah meminta kedua-dua anaknya menyediakan korban untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t.  Korban tersebut diletakkan di atas sebuah bukit iaitu Jabal Qubis.  Sesiapa yang korbannya diterima akan berkahwin dengan Iqlima.

Qabil membawa sekarung gandum yang rendah mutunya sebagai korban.  Manakala Habil membawa seekor kambing yang paling gemuk di antara kambing-kambingnya.  Setelah Nabi Adam a.s. sempurna mendirikan solat dua rakaat dan berdoa ke hadhirat Allah s.w.t., tiba-tiba turun api dari langit lalu menyambar kambing Habil.  Qabil masih merasa tidak puas hati dan masih mahu memiliki Iqlima.

Pada suatu hari, Habil keluar mencari untanya yang hilang.  Setelah keletihan Habil tertidur di bawah sebatang pokok.  Apabila Habil tidak pulang, Qabil yang memegang amanat ayahnya agar menjaga adiknya, pergi keluar mencari Habil.  Apabila hampir sampai dekat Habil yang tertidur itu, Qabil telah bersua dengan Iblis yang menyamar sebagai seorang tua yang memegang seekor ular mati di tangannya.  Iblis menerangkan bahawa ular terebut adalah peliharaan kesayangannya tetapi telah dibunuh dengan menghempaskan batu di kepalanya kerana mengigit tangannya.

 Iblis telah memberi jalan kepada Qabil agar menghempaskan batu ke kepala Habil yang sedang tidur apabila dia nampak wajah Qabil yang marah kepada Habil.  Lalu tanpa membuang masa, Qabil mengambil sebiji batu yang besar dan menghempaskannya ke kepala Habil.  Melihat adiknya yang telah mati, Qabil menjadi takut.  Timbul penyesalan di hatinya.  Dia memikul jenazah Habil ke hulu dan ke hilir.  Akhirnya dia terpandang seekor burung sedang menggali pasir dengan paruhnya.  Qabil pun mendapat akal untuk menyelesaikan jenazah adiknya.  Setelah selesai, Qabil membawa lari Iqlima ke tempat baru jauh dari ayahnya.  Diamlah mereka beranak pinak di situ.

Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa berasa amat sedih di atas kematian Habil dan memohon agar Allah s.w.t. dapat menggantikan yang serupa.  Apabila tiba saatnya, maka lahirlah seorang bayi lelaki yang comel tanpa kembarnya.  Nabi Adam a.s. menamakan puteranya bongsunya itu Syith (Pemberian Allah).  Setelah Syith besar, Allah s.w.t. memberitahu Nabi Adam a.s. bahawa Syith adalah bakal penggantinya sebagai khalifah dan nabi.

Ketika Nabi Adam a.s. sedang gering, dia teringin hendak makan buah-buahan syurga lalu meminta agar Nabi Syith a.s. berdoa ke hadhirat Allah s.w.t.  Nabi Syith a.s. telah pergi kesebuah bukit mendirikan solat dan berdoa.  Tiba-tiba turunlah Malaikat Jibrail a.s. bersama seorang bidadari membawa sebekas buah-buahan syurga.  Maka makanlah Nabi Adam a.s. bersama-sama Nabi Syith.  Nabi Adam a.s. wafat pada usia 930 tahun.


bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment