Tuesday, January 8, 2013

1.2. NABI ADAM a.s: Tipu daya Iblis




KISAH 25 NABI-NABI
TARIKUDDIN BIN HAJI HASSAN

 KISAH 1
NABI ADAM a.s



Tipu daya Iblis

Nama asal Iblis laknatullah ialah Azazil.  Iblis telah menyamar sebagai seorang tua, lalu naik ke langit dan duduk menangis di pintu syurga.  Burung merak yang bermain berhampiran dengan pintu syurga terdengar suara orang menangis lalu mendekati pintu syurga.  Merak mendapapti seorang tua sedang menangis lalu bertanya apa yang telah terjadi.

Iblis yang sedang menyerupai orang tua itu pun menjawab menyatakan bahawa dia menangis kerana ada orang akan keluar dari dalam syurga ini kerana sesuatu sebab.  Tujuannya adalah hendak mengajarkan doa yang mempunyai tiga khasiat yang besar bagi sesiapa yang membacanya agar dapat menyelamatkan diri daripada terkeluar dari syurga.

Iblis seterusnya menyatakan kahasiat doa tersebut setelah ditanya oleh burung Merak iaitu pertama, akan muda selalu; kedua, tidak mati selama-lamanya; dan ketiga, kekal di dalam syurga.  Iblis terus memujuk burung Merak supaya mencari jalan untuk membuka pintu syurga agar dia boleh mengajarkan doa itu kepada penghuni syurga.

Burung merak berjalan mencari pemegang kunci pintu syurga.  Di pertengahan jalan, burung merak telah bersua dengan ular, lalu dia memnberitahu berkenaan seorang tua yang ingin masuk ke dalam syurga dan juga tentang doa yang hendak diajarkan oleh orang tua itu.  Ular dan burung merak pergi semula ke pintu syurga yang tertutup itu.  Sebaik Iblis laknatullah melihat kepala ular terjenguk keluar, dia berpura-pura hendak mengajarkan doa tiga khasiat itu dengan syarat ular mesti berusaha membawanya masuk ke dalam syurga sebagai bayaran.

Namun ular enggan.  Melihat peluangnya sangat tipis, Iblis terus melompat masuk ke dalam mulut ular ketika ular sedang bercakap-cakap dan terus menguasai kepala ular itu.  Iblis mengarah ular supaya mendekati Pokok Khuldi.

Iblis yang berada di dalam mulut ular itu mula menangis teresak-esak.  Seluruh isi syurga terkejut mendengar suara orang menangis kerana selama ini belum pernah ada orang yang berdukacita di dalam syurga.  Siti Hawa pun pergi ke tempat itu kerana ingin mengetahui perkara yang sedang berlaku.

Siti Hawa bertanya sebab mengapa orang tua tersebut menangis.  Orang tua Iblis itu menyatakan bahawa dia bersedih kerana Siti Hawa dan Nabi Adam a.s. akan diusir daripada syurga kecuali jika mereka makan buah dari Pokok Khuldi ini.  Siti Hawa enggan berbuat demikian kerana pokok itu adalah pokok larangan Allah s.w.t.  Iblis terus memujuk dengan menyatakan bahawa tujuan Allah s.w.t. melarang mereka berdua mendekati pokok ini adalah sebagai alasan untuk mengeluarkan mereka dari syurga dan tidak mahu Siti Hawa dan Nabi Adam a.s. menjadi malaikat.

Siti Hawa akhirnya terpedaya.  Dia mengambil tiga biji buah larangan itu lalu dimakannya sebiji dan diberikan kepada Adam a.s. dua biji.  Oleh kerana Adam a.s. enggan memakannya, maka Siti Hawa pun mencari sejenis air pelupa yang menjadikan Nabi Adam a.s. lupa akan janjinya dengan Allah s.w.t. supaya jangan mendekati pokok itu dan memakan buahnya.

Lalu Nabi Adam a.s. memakan buah larangan itu.  Ketika buah itu hendak masuk ke batas halkumnya, Malaikat Jibrail a.s. mencekik leher Nabi Adam a.s.tepat pada buah yang sedang berada di tengah-tengah leher lalu melekat ia di situ.  Lalu tertanggallah pakaian mereka.  Nabi Adam a.s. segera mengambil daun-daun kayu untuk menutup auratnya dan aurat isterinya.

Perasaan berdosa menjelma di lubuk hati Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa lantas mereka meminta ampun kepada Allah s.w.t.  Allah s.w.t. telah meghukum keduanya dengan menurunkan mereka ke bumi.  Nabi Adam a.s. telah diturunkan di Pulau Sri Langka (Ceylon).  Burung merak dan ular yang terlibat sama juga telah dikeluarkan dari syurga.  Siti Hawa diturunkan di negeri Arab kawasan Judah.

Nabi Adam a.s dan Siti Hawa bertemu semula di Mekah, di sebuah padang luas yang kini dikenali sebagai Padang Arafah (Padang Pertemuan).  Nabi Adam a.s. telah memohon ampun ke hadhirat Allah s.w.t. dengan bersujud sambil menangis selama 40 hari 40 malam.  Kerana kesungguhannya memohon ampun itu, Allah s.w.t. telah menerima taubat keduanya.


bersambung...
(untuk baca versi penuh yang lebih menyeronokkan dan menarik, dapatkan bukunya)

No comments:

Post a Comment